Sabtu, 12 Januari 2013

PROSES PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN EKONOMI IAITU SEKTOR PERTANIAN DI DAERAH BESUT

1.0 Pengenalan.
1.1 Pendahuluan
Secara umumnya sektor pertanian merupakan sektor ekonomi utama yang membangunkan masyarakat di Daerah Besut sejak dahulu lagi. Masyarakat tradisional di Daerah Besut sudah sinonim dengan hidup bertani seperti menanam padi, menoreh getah, mengait buah kelapa sawit dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa besarnya peranan sektor pertanian ini ke atas aspek ekonomi dan sosial penduduk di daerah tersebut. Pembangunan menurut Todaro (1977) adalah merupakan suatu proses membentuk dan menyusun semula sistem ekonomi dan sosial (http://pembangunan162.blogspot.com/2008/09/apa-itu-pembangunan.html, dilayari pada oktober 2012). Oleh itu kajian yang dilakukan ini sangat penting dalam melihat proses pembangunan yang telah berlaku selama ini di Daerah Besut sehingga menjadikan Besut sebagai antara kawasan utama pertanian di Negeri Terengganu malah di peringkat negara dimana merupakan salah satu kawasan yang diiktiraf sebagai kawasan Jelapang Padi. Pembangunan sektor pertanian di Daerah Besut banyak disumbangkan oleh dasar dan strategi yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pihak Majlis Daerah, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta agensi-agensi tertentu yang terlibat.
1.2 Objektif kajian.
i) Objektif utama kajian ini ialah untuk menganalisis faktor-faktor yang menjadi penyebab kepada proses pembangunan ekonomi di daerah Besut.
ii) menilai faktor yang utama kepada proses tersebut serta agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakannya.
1.3 Metodologi kajian
Kajian mengenai proses pembangunan ekonomi iaitu dalam sektor pertanian di Daerah Besut banyak menggunakan data-data sekunder iaitu dari pada bahan bacaan seperti laporan, berita, buku akademik dan sebagainya. Selain itu kaedah kajian juga menggunakan data-data primer seperti pemerhatian dan temu bual tidak langsung.
1.3.1 Pemerhatian
Dalam kajian ini, kaedah pemerhatian merupakan antara kaedah yang paling banyak digunakan termasuk melalui pengalaman pengkaji sendiri yang telah menetap di daerah Selama lebih 20 tahun. pemerhatian dibuat dalam melihat proses-proses pembangunan yang telah berlaku ke atas ekonomi di Daerah Besut melalui kesan-kesan yang wujud pada hari ini.
1.3.2 Temubual
Kaedah temu bual tidak langsung, dibuat dengan memberi fokus kepada golongan petani yang terlibat secara langsung dengan aktiviti ekonomi iaitu pertanian. Melalui temu bual ini pelbagai maklumat mengenai sejauh mana tahap dan proses pembangunan telah berlaku sejak mereka menjalankan aktiviti pertanian pada waktu dahulu berbanding dengan waktu sekarang.
1.3.3 Pembacaan
Sesetengah data-data yang penting seperti kelusan daerah, keluasan tanaman padi, jumlah penduduk dan sebagainya diperolehi melalui bacaan perpustakaan serta melalui internet. Data-data sekunder seperti ini menjadi penentu kepada kesahihan data-data yang diperolehi melalui temubual serta menjelaskan perkara sebenar hasil daripada pemerhatian yang telah dilakukan.
1.4 Latar belakang kawasan kajian
Daerah Besut merupakan salah satu daerah daripada tujuh daerah di dalam negeri Terengganu dan menjadi pintu masuk ke negeri Terengganu dari negeri Kelantan Darul Naim. Daerah ini berkeluasan 123367.8 hentar yang terdiri daripada lima buah pekan serta kawasan Dewan Undangan Negeri pula dibahagikan kepada lima kawaasan mengikut sempadan pilihanraya (http://mdb.terengganu.gov.my/web/guest/info_besut/background, dilayari pada oktober 2012). Jumlah penduduk pula ialah seramai 118058 pada tahun 1991 yang terdiri daripada majoriti bangsa melayu diikuti bangsa cina dan lain-lain bangsa. Berdasarkan data guna tanah Daerah Besut jelas menunjukkan bahawa daerah ini merupakan kawasan pertanian dengan keluasan tanah untuk pertanian mewakili 76.61 peratus atau 37380.36 hektar daripada keluasan Daerah Besut jika dibandingkan dengan peratusan negeri iaitu 34.88 peratus sahaja. Berdasarkan daripada Rancangan Tempatan Daerah Besut (2008-2020), Daerah Besut juga merupakan kawasan utama pengeluaran padi, kelapa sawit, tembakau dan buah-buahan bagi negeri Terengganu keseluruhannya. Secara peratusannya, Daerah Besut mewakili sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman padi di negeri Terengganu (Rancangan Tempatan Daerah Besut 2008-2020). Dalam kajian Rancangan Struktur negeri Terengganu pada tahun 2005 yang merupakan dasar pembangunan dan perancangan fizikal negeri, Besut merupakan pusat daerah bagi wilayah utara negeri Terengganu. Bandar utama di Besut iaitu Bandar Jerteh akan menjadi bandar utama bagi wilayah utara negeri.
2.0 Dapatan kajian
Umumnya pembangunan sektor pertanian di Daerah Besut sejak dahulu hingga sekarang yang semakin berkembang daripada sektor ekonomi yang mendatangkan hasil sedikit yang
hanya diusahakan oleh petani miskin kepada sektor ekonomi yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Daerah Besut. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang utama antaranya ialah Pelaksanaan Projek Pembangunan Pertanian, Perancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi, Rancangan Tempatan Daerah, sistem jaringan jalanraya yang baik dan lain-lain lagi. Oleh itu, kajian ini akan melihat kepada faktor tersebut yang menjadikan proses pembangunan ekonomi iaitu pertanian di Daerah Besut terus berkembang seperti yang dapat dilihat pada hari ini.
2.1 Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA)
KETARA adalah singkatan daripada Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara telah ditubuhkan pada tahun 1992 hasil pembubaran IADP Besut yang merupakan singkatan daripada Projek Pembangunan Pertanian Besut yang merupakan salah satu projek pertanian bersepadu yang ditubuhkan dibawah Kementerian Pertanian Malaysia bertujuan memperbaiki taraf hidup masyarakat tani yang miskin pada masa tersebut (http://www.ketara.gov. my/sejarah-penubuhan, dilayari pada Oktober 2012). Hal ini juga adalah selaras dengan Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) dimana matlamatnya untuk mewujudkan integrasi erat antara negeri dan menghapuskan jurang ketidakseimbangan di antara wilayah. IDP Besut merupakan satu projek pengairan ke atas kawasan padi walau bagaimanapun projek pembinaannya telah ditunda daripada sepatutnya pada tahun 1977 kepada 1979 akibat masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan oleh pihak pemborong iaitu Korea Development Corporation (KDC). KETARA telah diberi tanggungjawab yang lebih luas daripada IADP Besut sesuai dengan usahanya untuk meluaskan skop dan operasi kawasan perkhidmatan dimana kawasan yang perlu dimajukan untuk pembangunan sektor pertanian melibatkan keseluruhan Daerah Besut dan sebahagian besar Daerah Setiu dengan keluasan 198739 hektar berbeza dengan IDP Besut yang hanya melibatkan Daerah Besut. IADP Ketara ditubuhkan dengan persetujuan kerajaan negeri dan
kerajaan persekutuan di bawah Kemeterian Pertanian dengan sebahagian peruntukannya dibiayai oleh Bank Pembangunan Asia. Di samping matlamat utama untuk memajukan sektor pertanian, peranan KETARA juga adalah untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pertanian terutamanya pesawah padi. Ini adalah untuk mencapai matlamat organisasi KETARA dimana strateginya adalah untuk mengeluarkan bahan makanan serta mengkomersialkan usaha tani. KETARA yang juga merupakan salah satu Projek Jelapang Padi telah berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran padi di kawasan tertentu, selain daripada melaksanakan program-program mempelbagaikan aktiviti ekonomi keluarga tani. Jelapang padi merupakan skim pengairan yang besar meliputi keluasan melebihi 4000 hektar dan diiktiraf oleh kerajaan seperti dalam Dasar Pertanian Negara bagi kawasan utama pengeluaran padi Negara. Ketara adalah salah satu daripada lapan agensi Kementerian Pertanian yang melaksanakan pembangunan di kawasan Jelapang Padi Negara. KETARA berperanan melaksanakan Dasar Pertanian Negara ke-3 dalam aspek tanaman padi iaitu mencapai sekurang-kurangnya 65% kadar sara diri negara iaitu 1.47 juta tan beras menjelang tahun 2010 (Berita Ketara, 2007). Bagi meningkatkan produktiviti jelapang padi, projek padi 10 tan telah mula dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Tumpuan bimbingan difokuskan kepada pesawah-pesawah yang berpotensi untuk menghasilkan 10 metrik tan sehektar padi bagi setiap musim. Para pesawah yang berupaya menghasilkannya akan menganggotai kelab 10 tan yang bertujuan sebagai satu pengiktirafan pencapaiannya. Pengwujudan Kumpulan Pengurusan Air (KPA) yang berperanan menyatukan kelompok petani dimana kepentingan dan kemudahan satu bekalan air yang sama telah memberi kesan yang baik terhadap keluaran hasil padi (Berita Ketara, 2007). Konsep perniagaan telah diterapkan dalam KPA agar sumber kewangan yang dimiliki boleh digunakan dalam meningkatkan lagi pengeluaran hasil padi seperusnya membantu kesinambungan beberapa aktiviti kearah peningkatan hasil padi. KPA yang ditubuhkan juga
akan dijadikan sebagai satu aspek perniagaan yang lebih menguntungkan para pesawah padi. Proses perkembangan sektor pertanian yang utama di Daerah Besut dapat dilihat melalui usaha yang telah dilakukan oleh KETARA termasuk pelbagai projek besar seperti pembinaan empangan, penggunaan jentera dalam pertanian, pengenalan jenis padi baru, sistem saliran yang baik, program-program pembangunan ekonomi masyrakat dan yang penting program pembangunan semasa awal penubuhannya iaitu awal tahun 1980-an sebagai perbandingan kepada hasil kemajuan yang telah dilakukan oleh KETARA pada hari ini.
2.1.1 Projek KETARA pada awal 80an
Pada awal 80an, terdapat banyak penghalang dalam pembangunan tanaman padi di Daerah Besut antaranya ialah sistem pengairan yang tidak sempurna, tanah sawah yang dalam, kekurangan perkhidmatan traktor dimana hampir keseluruhan perkhidmatan membajak disediakan oleh bahagian kesejahteraan projek besut (KETARA) serta perubahan penanaman padi secara cedung kepada tabur terus. Kemudahan sistem tali air adalah pada peringkat tertier pada masa tersebut kebanyakannya dibina menggunakan bahan ‘Fiber Glass’ yang dikenali sebagai ‘GRP’ (Berita KETARA, 2008). Kemudahan ini didapati menjadi faktor utama kepada masalah pengairan dimana ianya kerap kali rosak sama ada dihanyutkan banjir atau dilanggar oleh haiwan ternakan. Keadaan ini menyebabkan beratus-ratus hektar bendang terputus bekalan air pada tempoh yang agak lama kerana masalah sukar mendapat bekalan bahan ini bagi tujuan penyelenggaraan. Kini kawasan padi KETARA tidak lagi berdepan dengan masalah ini dengan adanya sistem tali air yang mempunyai tahap kemampuan membekal air yang tinggi. Setiap bendang padi dapat menerima bekalan air yang mencukupi untuk kegiatan penanaman padi sepanjang tahun. ‘Tanah dalam’ dalam istilah tersebut bermaksud tanah sawah yang tidak dapat dimasuki traktor untuk membajak sawah kerana di sesetengah tempat kerbau juga terbenam didalam lumpur hampir ke perut (Berita KETARA, 2008). Perkara ini berlaku kerana sistem saliran yang kurang sempurna dan sistem
kemasukan air kesawah yang tidak terkawal. Apabila traktor tidak dapat membajak sawah, petani enggan mengusahakan sawah mereka. Bagi mengatasi masalah tanah dalam tersebut, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) telah mengambil tindakan besar-besaran dengan menghantar beberapa buah jengkaut ke kawasan ini untuk membersihkan dan menggali alur-alur dan parit bagi memastikan sawah dapat dikeringkan apabila air tidak diperlukan seterusnya dapat mengekalkan lapisan keras tanah sawah. Keluasan tanaman padi mula meningkat dengan ketara setelah sistem saliran tersebut telah diperbaiki. Penubuhan kelompok tani berasaskan lokasi blok pengairan telah membantu supaya petani dapat memainkan peranan yang lebih berkesan bagi mengawal bekalan air dan saliran di kawasan sawah. Mekanisma ladang pada masa tersebut iaitu pembajakan sawah menggunakan jentera kebanyakannya disediakan oleh Projek Besut (KETARA). Pada masa tersebut di Daerah Besut bukan sahaja kekurangan traktor tetapi juga kekurangan pemandu serta bengkel untuk membaiki traktor. Bagi menggalakkan perkhidmatan traktor swasta, projek Besut (KETARA) telah mengadakan program latihan memandu traktor empat roda dimana pemandu-pemandu ini dilatih cara memandu traktor dan membajak sawah disamping menyelenggara asas traktor dan setrusnya mengatur dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk pemandu-pemandu ini menjalani ujian bagi mendapatkan lesen memandu traktor. Kaedah penanaman padi secara tabur terus mula diperkenalkan di projek Besut (KETARA) pada tahun 1982 di Kampung Telaga Nibong dengan keluasan 12.1 hektar (Berita KETARA, 2008). Alasan utama para petani yang tidak mahu menanam secara tabur terus ialah kesukaran untuk menuai disebabkan lanskap pokok padi yang tidak berumpun seperti tanaman cedung. Pada masa tersebut, tanaman padi di Daerah Besut belum menggunakan jentera. Bagi mengatasi alasan tersebut, pihak projek telah memperkenalkan tanaman terus cara ‘jemput’. Melalui kaedah tersebut, benih padi ditanam dengan mengambil kira-kira lima biji benih padi dan menanam di sawah mengikut jarak yang ditetapkan dengan cara ‘jemput’. Walaupun cara tersebut tidak
cepat seperti cara tabur terus tetapi lebih cepat dari cara mencedung. Kaedah ini telah banyak membantu petani-petani pada masa tersebut dalam mempercepatkan proses penanaman padi seterusnya mencepatkan proses penghasilan padi sebagai sumber pendapatan kepada mereka.
2.1.2 Projek Besut Barrage (Empangan Jajar Sungai Besut)
Projek ‘Besut Barrage’ adalah projek pembinaan empangan yang baru bagi menggantikan Empangan Jajar Sungai Besut yang sedia ada ekoran sering mengalami masalah mekanikal dan elektrik termasuk pintu-pintu dan “system Hoist” yang telah beroperasi hampir 30 tahun (http://www.ketara.gov.my/projek-besut-barrage, dilayari pada Oktober 2012). Empangan sedia ada yang telah dibina pada tahun 1975 adalah bertujuan untuk mengalirkan air dari sungai besut ke tali air bagi mengairi kawasan penanaman padi di kawasan KETARA iaitu Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara. Antara objektif projek pembinaan Besut Barrage yang baru adalah untuk memberi bekalan pengairan yang lebih efisyen serta mencukupi dalam mempertingkatkan pengeluaran padi kearah 10 tan untuk setiap musim pengairan bagi keluasan 4000 hektar disamping bertindak sebagai sokongan kepada tebatan banjir yang sempurna bagi seluruh kawasan KETARA. Pembinaan empangan yang baru ini adalah suatu usaha pembangunan terkini yang dilakukan untuk membangunkan ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian di Daerah Besut seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti pertanian. hal ini dilihat suatu perkembangan yang positif dimana projek pembangunan ekonomi yang telah dilakukan hampir 30 tahun dahulu di teruskan lagi pada masa kini dengan keadaan yang lebih baik.
2.1.3 Projek Empangan Paya Peda
Empangan Paya Peda terletak 1.5 km di Hulu Sg. Angga dan 17 km dari Bandar Jerteh, Terengganu merupakan salah satu lagi Projek Pembangunan Empangan di Daerah
Besut yang masih lagi dalam proses pembinaan pada masa kini (Berita Ketara, 2010). Pembinaan projek ini telah dicadangkan semenjak tahun 1996 iaitu dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) tetapi kerajaan telah meluluskan pembinaan empangan pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu pada tahun 2010. Menurut Berita KETARA 2010, objektif projek ini adalah untuk membekalkan air bagi memenuhi keperluan pengairan kepada IADA KETARA dan sebagai sumber tambahan air iaitu untuk keperluan domestik dan perindustrian. Objektif kedua ialah untuk mengurangkan risiko banjir di hilir Lembangan Sungai Besut (Berita Ketara, 2010). Berdasarkan projek ini dapat dilihat bahawa pembangunan di Daerah Besut bagi tahun-tahun kebelakangan ini keatas sektor ekonomi terutamanya penanaman padi semakin meningkat. Apabila bekalan air untuk keperluan padi dapat diberikan secara sepenuhnya maka pertanian padi akan meningkat dari segi hasil dan kemampuan pengeluarannya. Selain itu ini juga membantu meningkatkan pendapatan penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian bagi menyara keluarga. Kebanyakan petani yang mengusaha padi adalah masyarakat yang miskin namun apabila projek ini telah siap maka dengan kemampuan penanaman yang maksimum dapat meningkatkan lagi pendapatan para petani supaya dapat terkeluar dari garis kemiskinan. Hal ini kerana biasanya pada musim kemarau sesetengah kawasan padi kekurangan bekalan air untuk proses penanaman padi menyebabkan sesetengah kawasan sawah tidak dapat diusahakan. Selain itu, risiko yang selalu dihadapi oleh sesetengah pesawah padi di Daerah Besut juga iaitu bencana alam banjir terutamanya kawasan sawah di sekitar sungai Besut yang juga menyebabkan kerosakan terhadap tanaman padi. Ini mengakibatkan sesetengah petani tidak mengusahakan tanaman padi musim tengkujuh keranan dikhuatiri mengalami kerugian yang tinggi. Oleh itu jika dilihat kepada objektif kedua pembinaan empangan ini, masalah banjir dapat diatasi terutamanya di kawasan Hilir Sungai Besut yang menjadi tempat penanaman padi oleh penduduk kampung sejak dahulu lagi. Apabila masalah bekalan air
untuk pengairan dan masalah banjir dapat diatasi maka penanaman padi dapat dilakukan sepanjang tahun secara maksimum tampa perlu risau dengan masalah yang biasanya dihadapi.
2.2 Wilayah Pembangunan Ekonomi
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (WEPT) atau (East Coast Economic Region (ECER) merupakan wilayah pembangunan ekonomi di Malaysia yang dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada tahun 2007 (Halimah Abdul Rahman, 2008 : 27). Program hasil inisiatif kerajaan pusat ini adalah sebuah program ekonomi ketiga selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPT) di Johor dan Wilayah Ekonomi KOridor Utara (NCER) di sebelah Utara Semenanjung Malaysia. ECER melibatkan tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, serta Daerah Mersing di Johor. Keluasan kawasan yang terlibat ialah 66736 kilometer persegi. Ini adalah sebuah program yang terbesar di Semenanjung Malaysia kerana merangkumi 51 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan serta melibatkan 3.9 juta penduduk. Pembangunan ECER yang mengambil masa selama 12 tahun bermula dari tahun 2007-2020 ini bermatlamat untuk merubah wilayah ini menjadi tumpuan utama pelancongan dalam negeri dan antarabangsa, mengeluarkan barangan perkilangan yang berasaskan sumber, sebagai pusat perdagangan yang aktif serta sebagai hab lojistik dan infrastruktur yang utama. Berdasarkan tujuan ini khususnya dalam aspek mengeluarkan barangan perkilangan yang berasaskan sumber, jelas menunjukkan ECER juga antara program-program pembangunan yang dilaksankan oleh kerajaan bagi membangunkan ekonomi terutamanya sektor pertanian memandangkan Daerah Besut yang terletak di negeri Terengganu juga termasuk dalam program NCER ini. Hal ini demikian kerana, sumber yang diperlukan untuk mengeluarkan barangan perkilangan adalah hasil daripada sektor pertanian yang dijalankan di daerah besut juga. Selain itu, perancangan utama dibawah ECER yang
bertujuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan, meningkatkan pendapatan dan pengagihan secara lebih tepat dan berterusan juga adalah penting untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat yang terlibat dalam program tersebut. Tambahan lagi, penekanan ECER dalam pembangunan ekonomi terutamanya pertanian juga dapat dilihat dalam strategi pembangunan wilayah ekonomi pantai timur iaitu memperkukuhkan asas-asas ekonomi dengan memperkasakan pembangunan sektor industri, sektor perkhidmatan dan sektor pertanian. Dalam hal ini, sektor pertanian jelas dinyatakan dalam strategi tersebut sesuai dengan tujuan rancangan pembangunan ECER iaitu memastikan penduduk dan wilayah ini mencapai status wilayah maju menjelang tahun 2020 memandangkan sektor pertanian ini merupakan sektor ekonomi utama di daeah besut. Selain itu, penekanan kepada sektor pertanian juga dapat dilihat dalam teras utama pembangunan WEPT dimana sektor pertanian akan diperkembangkan, diperbagaikan dan menambah nilai kepada industri asas tani. Hal ini akan dilakukan melalui peningkatan pengeluaran dan pendapatan petani melalui inisiatif ladang secara bersepadu serta mini estet. Ini juga dapat di laksanakan dengan pembekalan benih yang lebih baik terutamanya dalam industri padi di wilayah ECER. Selain itu, sektor pertanian juga akan diperkenalkan dengan tanaman dan baka tanaman baru dengan nilai tambah yang lebih tinggi. Tambahan lagi, sektor pertanian serta akuakultur juga akan ditambah nilai dan diperbagaikan hasil pengeluarannya dengan membina jaringan pasaran serantau dan peringkat global yang lebih besar dan teratur.
2.3 Majlis Daerah Besut (MDB)
Majlis Daerah Besut (MDB) juga memainkan peranan yang penting dalam proses perkembangan ekonomi di Daerah Besut terutamanya sektor pertanian. Dalam strategi pembangunan Daerah Besut iaitu dalam Rancangan Tempatan Daerah Besut 2008-2020, pembanguna keatas sektor pertanian ditekankan dalam tema kedua iaitu Asas Ekonomi yang kukuh dimana berada dalam sub tema yang ketiga iaitu membangunkan aktiviti pertanian
kearah status kawasan pengeluaran makanan Negara serta memperkasakan industri kecil dan sederhana (Rancangan Tempatan Daerah Besut 2008-2020). Walaupun pembangunan keatas sektor perkilangan, perindustrian, perumahan dan lain-lain lagi sangat penting serta menguntungkan dalam memajukan sesebuah daerah, namun dalam RTD Besut 2008-2020 masih lagi memberi penekanan yang tinggi keatas sektor pertanian dimana kawasan pertanian sebahagian besarnya masih lagi diteruskan untuk pertanian seperti padi, getah dan kelapa sawit. Hal ini kerana Daerah Besut masih lagi memerlukan sektor pertanian dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat dan daerah kerana potensi sektor ini yang masih besar dan dominan jika dibandingkan dengan sektor-sektor lain di daerah Besut. Ini juga adalah hasil sokongan daripada pelbagai agensi yang ada di daerah Besut iaitu KETARA dan syarikat BERNAS yang penting dalam memajukan sektor pertanian terutamanya padi. Antara sumbangan yang boleh dilihat oleh pihak Majlis Daerah Besut ialah menyediakan tapak bagi petani menjual hasil tanaman mereka yang dikenali sebagai Pasar Tani Jerteh yang di jalankan seminggu sekali iaitu pada hari khamis. Hal ini telah menyebabkan ramai golongan petani yang menanam secara kecil-kecilan ataupun secara sederhana dapat menjual hasil pertanian mereka sendiri tanpa perlu menjual dahulu kepada orang tengah. Ini akan dapat mengurangkan penindasan oleh golongan pemborong keatas petani miskin yang lemah.
2.4 Rancangan Pembangunan Tanah.
Rancangan pembangunan tanah yang ada di daerah Besut yang dikendalikan oleh agensi-agensi seperti FELDA, FELCRA serta RISDA juga banyak membantu dalam proses perkembangan sektor ekonomi iaitu pertanian di Daerah Besut seperti yang dapat dilihat pada hari ini berbanding dengan sebelumnya (Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah, 1982). Agensi-agensi pembangunan tanah yang ditubuhkan ini adalah untuk tujuan utamanya iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat diluar bandar secara keseluruhannya iaitu melalui rancangan penempatan semula penduduk desa yang tidak memiliki tanah ataupun memiliki tanah yang
tidak ekonomik untuk diusahakan dimana saiz tanah yang kecil ke rancangan-rancangan pembukaan tanah baru. Selain itu, rancangan pembangunan tanah juga membangunkan semula tanah milik penduduk yang tidak dimajukan sepenuhnya melalui rancangan-rancangan pemulihan dan penyatuan tanah dengan penanaman semula getah dan kelapa sawit. Antara rancangan pembangunan tanah yang ada di daerah Besut ialah Felda Tenang, Felda Selasih dan Felcra Hulu Keruak serta RISDA.
2.4.1 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
FELDA telah ditubuhkan pada 1 Julai, 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Kementerian Kemajuan Tanah Dan Kemajuan Wilayah, 1982). Tugas utama FELDA adalah untuk membuka dan memajukan tanah untuk dijadikan kawasan perladangan dan menempatkan rakyat yang tidak bertanah atau memiliki tanah yang sangat kecil untuk diusahakan. Pembangunan ekonomi terutamanya pertanian yang dapat dilihat kesan daripada wujudnya FELDA iaitu Felda Tenang di daerah Besut ini ialah berlaku peningkatan taraf ekonomi dan sosial dalam kalangan peserta tanah rancangan tersebut serta penduduk setempat yang terlibat secara tidak langsung. Kawasan tersebut yang dahulunya tidak mempunyai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya kini sudah memiliki jaringan jalan raya yang baik. Selain itu, wujud pelbagai kemudahan asas seperti elektrik, air dan telefon serta sektor peruncitan dan perkhidmatan bagi menampung jumlah permintaan yang telah bertambah. Dalam sektor pekerjaan pula, selain daripada peserta rancangan tanah tersebut yang menikmati peluang pekerjaan, penduduk sekitar juga menerima kesan baik yang sama iaitu dengan bekerja di sektor ladang iaitu ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh peserta rancangan tersebut. Tambahan juga penduduk tempatan juga dapat menigkatkan pendapatan dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan yang semakin bertambah apabila jumlah penduduk juga telah bertambah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan taraf ekonomi
serta sosial penduduk sekitar dan juga dalam masa yang sama tidak terkecuali penduduk tanah rancangan tersebut.
2.4.2 Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA)
FELCRA telah ditubuhkan pada 1 April 1966 di bawah Akta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara 1966 dimana tugas-tugas utamanya ialah memulih atau memajukan tanah sama ada melalui tindakannya sendiri dan dengan persetujuan Pihak Berkuasa Negeri yang Berkenaan atau atas permintaan Pihak Berkuasa Negeri itu dan memajukan atau memulih mana-mana tanah lain atas permintaan pemilik tanah sendiri dan mengikut syarat-syarat yang dipersetujui diantara tuan tanah dan pihak lembaga (Kementerian Kemajuan Tanah Dan Kemajuan Wilayah, 1982). Di daerah Besut, FELCRA iaitu Felcra Keruak telah banyak memainkan peranan penting dalam proses pembangunan sektor ekonomi iaitu pertanian di Daerah Besut khasnya. Dahulunya penduduk di kawasan Felcra tesebut tidak mampu mengusahakan tanah mereka sendiri akibat kos pengusahan dan juga saiz tanah yang tidak ekonomik iaitu terlalu kecil untuk mengusahakan pertanian. Apabila FELCRA mengambil alih kawasan tersebut, ekonomi kawasan tersebut semakin berkembang dengan adanya peluang-peluang pekerjaan dalam sektor pertanian iaitu getah dan kelapa sawit melalui program rancangan ‘insitu’ dimana tanah yang sedia ada dimiliki penduduk disitu di usahakan oleh pihak FELCRA. Hal ini banyak membantu penduduk tempatan dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial mereka jika dibandingkan dengan sebelum ini yang kekurangan pekerjaan seterusnya menyumbang kepada kekurangan kemudahan sosial seperti elektrik, air dan sebagainya.
2.4.3 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)
RISDA telah ditubuhkan pada l Januari 1973 di bawah Akta Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Getah 1972 yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir Kumpulan wang Perusahaan Getah iaitu untuk penanaman semula yang ditubuhkan dibawah seksyen 3 Ordinan Kumpulan wang Perusahaan Getah iaitu untuk penanaman semula 1952, mengurus dan mengendalikan rancangan-rancangan yang disediakan dan diluluskan dibawah peruntukan Ordianan Kumpulan Wang Perusahaan Getah bagi penanaman semula 1952 dan lain-lain lain yang termaktub dalam peruntukan tersebut (Kementerian Kemajuan Tanah Dan Kemajuan Wilayah, 1982). RISDA membantu proses perkembangan ekonomi di Daerah Besut ini melalui rancangan-rancangan RISDA iaitu rancangan tanam semula, pembangunan perladangan, rancangan mini estet , Skim Penggalak Tanam Semula (SEPENTAS) dan lain-lain lagi yang bertujuan untuk kepentingan penduduk tempatan yang menjadi kawasan operasi mereka. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman
2.5 Jaringan Jalan Raya
Jaringan jalanraya merupakan faktor yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi di sesebuah tempat. Oleh itu, proses perkembangan sektor ekonomi iaitu pertanian di Daerah Besut juga adalah hasil pembinaan sistem jalanraya yang sangat baik yang dilakukan oleh pihak Majlis Daerah Besut iaitu pembinaan jalan perbandaran, luar bandar serta jalan pertanian yang menghubungkan kawasan pertanian dengan kawasan bandar, pihak Kerajaan Negeri Terengganu yang membina jalan negeri yang menghubungkan antara daerah serta pihak Kerajaan Persekutuan yang membina jalan persekutuan yang menghubungkan antara negeri. Hal ini sangat penting dalam pembangunan sektor ekonomi pada hari ini dimana pertumbuhan sesuatu kawasan pertanian adalah disebabkan oleh kemampuan kawasan tersebut yang dapat berhubung secara terus dengan kawasan bandar dan luar negeri
bagi urusan permintaan dan penawaran barangan iaitu hasil pertanian. Ini kerana jaringan jalanraya yang baik dapat memasarkan dengan cepat hasil pertanian dalam kos yang rendah dan kualiti yang tinggi. Oleh yang demikian, sektor ekonomi iaitu pertanian dilihat terus berkembangan dengan cepat di Daerah Besut pada hari ini berbanding dengan waktu dahulu sebelum pembinaan sistem jaringan jalan raya seperti yang dilihat pada hari ini.
3.0 Kesimpulan
Proses pembangunan ekonomi di Besut menunjukkan bahawa banyak peningkatan daripada dekad dahulu sehingga ke hari ini. Pelbagai pihak dilihat telah berjaya membangunkan daerah ini sebagai sebuah daerah pertanian terutamanya padi. Sumbangan daripada sektor ini banyak menyumbangkan kepada kemajuan yang dicapai oleh daerah, masyarakat setempat, masyarakat sekitar dan pembangunan fizikal. Biasanya petani dikaitkan dengan kemiskinan tetapi kini pendapatan petani boleh mencecah tahap pendapatan sederhana jika dibandingkan dengan sektor-sektor lain terutamanya di Daerah Besut. Kemajuan dalam Pembangunan sektor pertanian juga dilihat menyeluruh di daerah tersebut dimana setiap kawasan atau mukim mendapat sedikit sebanyak kemajuan dalam sektor ini. Walau bagaimanapun, pembangunan keatas sektor pertanian dilihat perlu ditingkatkan lagi supaya dapat menjamin peluang-peluang pekerjaan yang cerah bagi menampung jumlah permintaan kepada sektor pekerjaan pada masa hadapan. Hal ini selari dengan Wawasan 2020 yang dihasratkan oleh perdana menteri malaysia keempat iaitu bagi mencapai negara maju dengan taraf hidup masyarakat yang tinggi.
Bibliografi
Berita KETARA 2007. Dilayari pada Oktober 2012. Website :
http://www.ketara.gov.my/wp-content/uploads/2012/03/Buletin-KETARA-2007.pdf
Berita KETARA 2008. Dilayari pada Oktober 2012. Website :
http://www.ketara.gov.my/wp-content/uploads/2012/03/Buletin-KETARA-2008.pdf
Berita KETARA 2010. Dilayari pada Oktober 2012. Website :
http://www.ketara.gov.my/wp-content/uploads/2012/03/Buletin-KETARA-2010.pdf
Berita KETARA 2011. Dilayari pada Oktober 2012. Website :
http://www.ketara.gov.my/wp-content/uploads/2012/08/Berita-KETARA-2011.pdf
Halimah Abdul Rahman (2008). Koridor Ekonomi Menjana Pembangunan. Petaling Jaya : Penapro Sdn. Bhd.
Kementerian Kemajuan Tanah Dan Kemajuan Wilayah (1982).
Laman Web KETARA. Dilayari pada Oktober 2012. Website :
http://www.ketara.gov.my/.
Laman Web Portal Rasmi Majlis Daerah Besut. Dilayari pada November 2012. Website :
http://mdb.terengganu.gov.my/web/guest/info_besut/background.
Projek Besut Barrage. Dilayari pada oktober 2012. Website :
http://www.ketara.gov.my/projek-besut-barrage

Kaedah kualitatif dalam geografi dan perkembangan kaedah ini.


         Berdasarkan pemahaman daripada hasil tinjauan literatur, perkembangan kedah kualitatif dalam geografi adalah hasil daripada rasa tidak puas hati ahli-ahli geografi yang dikenali sebagai geografi kritis terhadap revolusi geografi kuantitatif serta aliran geografi sains ruang yang diambil daripada falsafah positivisme yang menggunakan kaedah matematik terutamanya kaedah statistik dalam menguji hipotesis. Schaefer adalah antara ahli geografi yang menyokong geografi yang menggunakan falsafah dan kaedah aliran sains positivism (R.J. Johnston, 1989 : 73). Antara geografi kritis pada era geografi moden yang menentang geografi kuantitatif adalah geografi humanistik yang berlatar belakangkan falsafah exsistentialisme dan fenomenologi (P. Richard, 1988 : 34). Walaubagaimanapun kaedah kualitatif dilihat telah digunakan sejak dahulu lagi dalam geografi seterusnya pada era geografi sebelum moden iaitu sekitar tahun 1980 seperti geografi wilayah yang menekankan perbezaan kawasan (area differentiation) sehingga lahirnya geografi kuantitatif yang lebih kepada objektif serta menentang geografi yang bersifat kualitatif tersebut (Iwan Hermawan, 2009). Namun pendekatan kaedah kualitatif terus berkembang sehingga zaman geografi pascamoden seperti dalam geografi feminis dan sebagainya. Geografi kualitatif merupakan lebih kepada kaedah atau pendekatan yang digunakan oleh ahli-ahli geografi terhadap teras pemikiran mereka jadi untuk melihat perkembangan kaedah ini perlulah dilihat dari aspek aliran-aliran pemikiran geografi serta ahli-ahli geografi yang menggunakan kaedah ini. Oleh itu, tokoh-tokoh dalam geografi kualitatif adalah lebih umum dimana adalah berdasarkan penulisan serta falsafah mereka tidak kira mereka adalah ahli geografi wilayah, manusia atau sebagainya. Oleh yang demikian, Edward Relph, Yi-fu Tuan, Anne Buttimer, David Ley dan  lain-lain lagi boleh dikatakan ahli-ahli geografi yang penting dalam geografi kualitatif. Daripada pemerhatian yang dibuat, tidak banyak penulisan yang berfokus terus kepada geografi kualitatif tidak seperti kaedah kuantitatif sehingga tercetusnya revolusi kuantitatif melainkan kaedah-kaedahnya yang digunakan dalam aliran-aliran geografi seperti geografi manusia , wilayah dan geografi humanistik.
Jika difahami dari segi istilah, pendekatan kualitatif menekankan kepada makna dan pemahaman dari dalam, suatu definisi dalam kontek tertentu dan lebih banyak meneliti perkara-perkara yang berhubungan dengan kehidupan seharian (Jonathan Sarwono, hal 1) . Kaedah kualitatif memberatkan usaha untuk mencari dan memberikan keterangan serta pemerhatian bukan numerikal walaupun terdapat keterangan yang merujuk kepada statistik ( Azizah Hamzah). kaedah kualitatif juga mementingkan kepada proses yang digunakan berbanding dengan proses akhir yang diperolehi menyebabkan sesetengah kajian yang menggunakan kaedah kualitatif mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Tujuan utaman kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif ialah untuk mengembangkan pengertian, konsep-konsep dan istilah yang pada akhirnya membentuk suatu teori di mana tahap ini dikenali sebagai ‘Grounded Theory research’ (Jonathan Sarwono, hal 2). Tambahan lagi, pendekatan kualitatif lebih bersifat umum dan cara melakukan kajian boleh berubah-ubah sesuai dengan situasi di lapangan semasa kajian tersebut dilakukan kerana reka bentuk kajian hanya digunakan sebagai andaian dalam melakukan sesuatu kajian. Oleh itu, peranan penkaji sangat dominan dalam menentukan kejayaan sesebuah kajian sedangkan reka bentuk pendekatan hanya membantu mengarahkan proses kajian supaya berjalan dengan sistematik. Selain itu, dalam pendekatan kualitatif, data adalah bersifat deskriptif dan bukannya angka seperti dalam pendekatan kuantitatif. Disamping itu, cirri pendekatan kualitatif ialah jumlah sampel yang digunakan adalah kecil kerana dalam pendekatan kualitatif, penekanan kepada pemilihan sampel adalah berdasarkan kualiti dan bukannya jumlah sampel yang dikaji (Jonathan Sarwono, hal 3). Oleh itu, ketepatan dalam memilih sampel merupakan faktor kejayaan sesebuah kajian yang dilakukan. Dalam kajian yang menggunakan kaedah kualitatif juga, hubungan pengkaji dengan benda yang dikaji perlulah dekat dan mempunyai saling kepercayaan. Sebagai contoh jika sampel tersebut adalah manusia, hubungan antara penkaji dan orang yang dikaji atau di temubual mestilah sebagai seorang rakan dan bukannya sebagai objek penelitian (Jonathan Sarwono, hal 4). Biasanya penelitian mengambil masa yang lama kerana pengkaji perlu menjalinkan hubungan yang rapat terlebih dahulu dengan orang yang dikaji sebelum melakukan sesuatu kajian. Selain itu, Kontrak dan semakan ahli oleh peserta penyelidikan semakin disyorkan dalam penyelidikan kualitatif dalam geografi manusia (M. Bradshaw, 2000). “kontrak” ini kini sering dituntut oleh jawatankuasa etika penyelidikan keizinan pada subjek manusia (Baxter and Eyles, 1997). Cek ahli adalah satu paradigm baru atau terjemahan daripada generasi keempat dimana pengesahan responden yang lebih positif. cek ahli dikatakan menjadi kunci untuk mewujudkan ketepatan dan kredibiliti dalam penyelidikan jenis kualitatif dan cara ini sememangnya perlu digunakan oleh setiap penyelidik. 
Isu penting yang diberi perhatian oleh geografi kualitatif pada masa ini.
Isu penting yang diberi perhatian oleh geografi kualitatif pada masa ini boleh dilihat didalam kajian yang telah dilakukan berdasarkan artikel ‘Using Qualitative Methods in Medical Geography : Deconstructive Moments in a Subdiscipline’ ini yang membincangkan sumbangan penyelidikan kualitatif kepada proses dalam menyediakan akses kepada cara-cara alternatif memahami kebimbangan terhadap kesihatan serta menekankan isu-isu kuasa dalam menghasilkan pengetahuan dimana kaedah kualitatif ini membawa potensi untuk ‘reconceptualizing’ isu utama bagi merangka penyiasatan mengenai hubungan antara tempat, orang dan kesihatan mereka (D. Isabel, 2010). Dalam mengikuti isu-isu semasa dalam teori sosial, kajian kualitatif juga menyumbang kepada kekaburan dalam ‘subdiscipline’. Sejak akhir-akhir ini, wujud persoalan yang serius mengenai arah, tujuan dan kandungan perubatan geografi dimana ianya mengambil ruang dan letakan serius dalam menyiasat hubungan yang komplek antara orang, tempat, kesihatan mereka serta penjagaaan kesihatan. Percubaan untuk membongkar perkara ini adalah merupakan hubungan antara agenda geografi perubatan dan orientasi semua geografi tersebut. Orientasi semula ini telah dimasukkan kedalam peningkatan penggunaan strategi penyelidikan kualitatif dan perhatian kepada peranan teori sosial dalam pembinaan pengetahuan.  Kaedah kualitatif tidak baru dalam geografi perubatan tetapi mereka mula meningkatkan penggunaannya sebagai satu strategi penyelidikan yang difahami supaya mampu menghasilkan ‘placesensitive’ serta tertakluk dan berpusatkan kepada analisis dimensi geografi kesihatan dan penjagaaan. Perkara ini memberi tumpuan kepada pandangan, persepsi, pengalaman peserta kajian dimana penekatan yang digunakan dalam penyelidikan kualitatif ini dapat menangani pelbagai soalan penyelidikan dan kebimbangan baru seperti geografi perubatan mencipta semula bidang masing-masing sebagai geografi kesihatan. Dalam kajian ini pengkaji melihat beberapa implikasi penggunaan kaedah kualitatif untuk menyediakan akses alternatif tentang persefahaman mengenai kesihatan dan kebimbangan penjagaan kesihatan seterusnya potensi untuk ‘reconceptualizing’ isu-isu utama untuk penyiasatan. Strategi penyelidikan kualitatif terdiri daripada pelbagai teknik dimana setiap strateginya berbeza dengan teori yang boleh digunakan bagi kedua-dua pengumpulan maklumat dan teori kritikan. Kajian terbaru yang menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif meliputi pelbagai bidang dalam menangani pelbagai aspek kesihatan, penyakit, kecacatan atau penjagaan kesihatan dan pengalaman tempat(D. Isabel, 2010) . Kajian kedua adalah mengenai mereka yang rapat bekerja dengan teori sosial dan melibatkan diri dengan intelek seperti ‘poststructuralism’, feminisme, teori kritikan bangsa dan ‘cultural turn’ yang umumnya dalam geografi manusia. Mereka meningkatkan sensitiviti kepada kajian politik dalam pendekatan tersebut yang membawa lebih masa reflektif dalam subdisiplin serta membuka pertimbangan kepada peranan penyelidik dan teori dalam membina pengetahuan mengenai kesihatan dan tempat terutamanya dalam penyelidikan yang berasaskan pengalaman. Kajian ini bermula dengan perbincangan ringkas perubahan arah dalam subdisiplin yang menganjurkan agar penyiasatan mengenai teori tentang hubungan antara  manusia, tempat dan kesihatan dimana memberikan tumpuan yang lebih terhadap siasatan  yang berpusatkan subjek. Seterusnya penulis meninjau beberapa pilihan dimana kaedah kualitatif sedang digunakan dalam geografi kesihatan dan komen mengenai isu-isu metodologi timbul hasil daripada tinjauan mengenai teori sosial, kaedah dan kajian politik tersebut. Kesimpulannya penulis kajian ini meringkaskan bahawa implikasi daripada penggunaan pendekatan baru iaitu penyelidikan kualitatif dalam geografi kesihatan untuk pembangunan selanjutnya serta sudut subdisiplin dalam meluaskan domain geografi sosiobudaya. Dalam esei kajian, mohan (1989) mengulas mengenai konservatisme geografi perubatan dan pendekatan metodologi kajiannya mencadangkan bahawa kaedah kualitatif seperti temu bual secara mendalam mempunyai nilai dalam mendedahkan kedua-duanya iaitu pengalaman orang tentang kesihatan , penyakit dan penjagaan kesihatan dan bagaimana sosio politik yang lebih luas dan berkuasa memberi kesan keatas seseorang individu. Sudah tentu penggunaan pendekatan epidemiologi dalam siasatan konvensional telah kurang berminat dalam kontek pengalaman dan sosiopolitik berbanding dalam pengukuran yang berkualiti bagi menghurai dimensi antara ruang penyakit dan penyakit (D. Isabel, 2010). Perkhidmatan penyelidikan penjagaan kesihatan juga sebahagian besarnya telah bergantung kepada pendekatan kuantitatif untuk menyiasat lokasi, peruntukan dan kemudahan dalam penjagaan rasmi perkhidmatan kesihatan. Selain itu, penyelidikan mengenai hubungan antara kualiti alam sekitar dan kesihatan juga telah dikuasai oleh pendekatan  kuantitatif. Strategi kualitatif telah di tambah atau diganti atau lebih kepada kaedah konvensional iaitu penyiasatan menggunakan kaedah quantitatif dalam mengkaji pengalaman kesihatan, penyakit dan penjagaan kesihatan kepada setiap individu atau kumpulan yang dinyatakan. Oleh itu, bagaimanakah pula kaedah kualitatif yang digunakan dalam menentukan hala kursus baru Geografi Kesihatan ini. Sebagai sebahagian kaedah alternatif bagi memahami geografi kesihatan dan penjagaan kesihatan, apakah potensi mereka untuk ‘reconceptualising’ isu-isu yang membimbangkan? Penulis kajian ini mengesan beberapa cara kaedah kualitatif sokongan dalam tema dan kaedah kesihatan dalam geografi perubatan dan mereka menggunakan kaedah ini untuk penyelidikan bagi kawasan-kawasan yang lebih tradisional. Pergerakan semasa dalam subdisiplin walau bagaimanapun menarik pandangan dari perbahasan baru dan bertukar intelek dalam geografi sosiobudaya dalam mencabar dominasi kategori perubatan dalam menggariskan bidang dan menyeru untuk pembentukan kontekstual dan penyakit. Dalam giliran penyiasatan naratif juga telah membuka jenis penyiasatan yang memerlukan pengiktirafan pengalaman subjektif dan merangka hubungan dan pengagihan kuasa. Terdapat kaitan rapat dengan teori yang mendahului serta kebimbangan falsafah bagi  memilih kaedah untuk menyiasat perubahan dalam pendekatan kesihatan dan penjagaan kesihatan dalam masyarakat dimana hadir bersama dalam membina semula geografi perubatan sebagai geografi kesihatan.
Penulis dalam kajian ini telah mengenalpasti tiga trend utama penggunaan strategi kualitatif dalam geografi kesihatan baru-baru ini. Pertama pendekatan kaedah kualitatif digunakan bersama-sama reka bentuk kajian kuantitatif terutamanya dalam kajian menggunakan kaedah kaji selidik sebagai bidang penyelidikan yang sedia ada dibangunkan. Kedua adalah kaedah kualitatif digunakan dalam mewujudkan perspektif yang tertakluk kepada pusat penjagaan kesihatan, penyakit serta kesihatan dan yang berkaitan dengan isu-isu yang mencabar pergantungan kepada konvensional kategori pertikaian sentrik dalam siasatan. Ketiga ialah penggunaan kaedah kualitatif bersama-sama dengan teori sosial.
Kesimpulan.
Kesimpulannya, berdasarkan penulisan ini kita dapat mengetahui bagaimana kaedah kualitatif dalam geografi yang telah diguna pakai dalam pemikiran-pemikiran geografi yang telah wujud sebelum ini. Pendekatan kaedah kualitatif dalam geografi ini mempunyai banyak kelebihan dalam mendapatkan ketepatan mengenai sesuatu kajin terutamanya yang melibatkan manusia sebagai subjek kajian seperti contoh kajian yang telah ditunjukkan dalam penulisan ini. Dalam kajian tersebut, kaedah kualitatif dilihat penting digunakan dalam menjalankan kajian seperti bagi mendapatkan ‘reconceptualizing’ isu utama untuk merangka penyiasatan mengenai hubungan antara tempat, orang dan kesihatan mereka walaupun sesetengah pengkaji-pengkaji lain mempunyai pendekatan lain terutamanya yang menggunakan kaedah kuantitatif. Walau bagaimanapun kaedah kualitatif tetap perlu digunakan walaupun tidak sepenuhnya kerana dalam bab-bab tertentu keadaan seseorang subjek kajian tidak digambarkan melalui kualitatif sahaja. Oleh itu, bagi pengkaji yang menggunakan kadah kualitatif dalam kajiannya, mereka dapat melihat perbezaan hasil yang diperolehi daripada menggunakan kaedah lain walaupun setiap kaedah yang digunakan mempunyai teori dan falsafah yang telah dibenarkan terutamanya dalam kaedah penyelidikan geografi. Jadi, kesan daripada perkembangan geografi kualitatif ini dapat dilihat sehingga hari ini melalui pendekatan-pendekatan tertentu daripada aliran pemikiran geografi humanistik sehingga kepada ahli  geografi pascamoden.

Jumaat, 4 Januari 2013

ada apa pada Taufik?

 tadi search2 jumpa nie..
TAUFIK
TTulus
AAmanah
UUntung
FFleksibel
IIkhlas
KKomited
Apa ada pada nama?

ubah matlamat

aku rasa nak ubah matlamat blog nie ke arah post benda2 yang akademik terutamanya melibatkan bidang geografi.. mungkin lebih bermanfaat sket

antara aku, Sadam, Bojan Hodak, Liverpool dan Kelantan FA